Tuesday, 28 February 2017

Apa ada pada kalimah لا

ِApa ada pada kalimah لا

La (لا) dalam bahasa Arab bermaksud tidak. Dalam bahasa Arab, terdapat 2 jenis لا, iaitu لا النافية dan  لا الناهية. Banyak beza pada 2 jenis لا tersebut walaupun menggunakan lafaz yang sama. Jenis لا النافية bermaksud tidak, manakala لا الناهية bermaksud jangan.

Kali ini, kita akan bercerita mengenai penggunaan لا dalam konteks kehidupan kita seharian. Kebanyakan ibubapa sekarang lebih suka menggunakan perkataan NO, berbanding لا ketika melarang anak berbuat sesuatu. Namun, apakah beza antara ungkapan لا dan NO. Sebenarnya, banyak perbezaan keduanya dari segi aspek nilai. Tahukah anda ketika kita menggunakan perkataan لا, kalimah tersebut mempunyai nilai dalam bahasa Arab. Apakah nilai tersebut? Jawapannya adalah anak-anak kecil sudah dididik untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang menyalahi agama Islam. Bagaimana caranya? Sebagai contoh, ketika kita melarang anak kita bermain sesuatu, dan kita mengungkapkan لا kepada mereka, sebenarnya kita sedang mendidik anak-anak kita supaya menjauhi perbuatan tersebut. Lama-kelamaan, mereka terdidik untuk tidak melakukan perkara yang dilarang oleh agama Islam, kerana banyak ayat larangan dalam Al-Quran menggunakan kalimah لا, menunjukkan perbuatan itu dilarang oleh agama. Secara automatik, ketika mereka membaca ayat-ayat al-Quran yang berbentuk  لا الناهية, mereka mengetahui perbuatan tersebut adalah haram di sisi Allah. Kalimah لا bukan sahaja berdiri sebagai satu kalimah, tetapi ia membawa hukum bersamanya. Dalam ayat-ayat larangan dalam al-Quran, perbuatan yang didahului dengan لا الناهية itu hukumnya haram. Ia bukan sekadar bersifat tegahan, tetapi membawa hukum bersamanya. Sebagai contoh firman Allah Taala:

(( لا تقربوا الزنا ))

Bermakna hukum menghampiri zina itu adalah satu dosa, maka ketika diungkapkan " Jangan menghampiri zina", maka mana-mana perbuatan yang hampir kepada zina itu adalah haram. Itulah nilai yang ada pada kalimah لا, tetapi tidak terdapat pada NO, yang hanya bersifat menidakkan atau menafikan sesuatu perbuatan.

Oleh itu, sebagai ibubapa seharusnya kita menggantikan perkataan NO yang selalu kita gunakan ketika menegah anak melakukan sesuatu dengan kalimah لا sebagai kata larangan dalam kehidupan seharian. Dalam sudut psikologi juga, kita tidak digalakkan untuk menggunakan perkataan NO yang boleh membantutkan perkembangan positif anak-anak kita kerana NO lebih membawa maksud negatif. Berbeza pula dengan penggunaan لا kerana kita menggunakan lafaz al-Quran ketika berbicara dengan anak-anak kita. Inilah yang dikatakan mendidik anak-anak kita dengan pemahaman al-Quran sejak dari kecil lagi dengan lafaz yang diambil dari al-Quran. Al-Quran itu bukan setakat dibaca dan dihafaz tetapi perlu diamalkan mesej-mesej yang terkandung di dalamnya untuk dijadikan panduan hidup di dunia. Dan amalan mudah untuk menanam anak-anak cintakan al-Quran adalah dengan mengamalkan komunikasi al-Quran bersama anak-anak. Dan penggunaan kalimah لا , adalah salah satu contoh penggunaan komunikasi al-Quran dengan niat untuk mendidik mereka menjadi generasi Rabbani. In shaa Allah, di lain masa, saya akan menghuraikan pula makna لا النافية yang bermaksud tidak.


#NOW, EVERYONE CAN SPEAK ARABIC
#PLEASE DO NOT SHY TO USE لا

هيا بالعربية☺

No comments:

Post a Comment