Friday, 24 February 2017

Keagungan Basmalah

Keagungan Basmalah

Lafaz بسم الله الرحمن الرحيم adalah permulaan ayat bagi setiap surah yang ada dalam al-Quran kecuali surah at-Taubah. Sebelum memulakan sesuatu pekerjaan, kita juga digalakkan untuk membaca basmalah. Namun, sedarkah kita lafaz akhir pada lafaz basmalah iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang merupakan Asmaul Husna bagi Allah mempunyai makna yang berbeza. Untuk memberi kesan yang lebih pada setiap pekerjaan kita yang dimulai dengan lafaz tersebut, elok kita menghayati apakah perbezaan pada kedua-dua nama Allah tersebut dari segi ilmu bahasa Arab.

Lafaz الرحمن dan الرحيم adalah berasal daripada kalimah فعل yang sama iaitu رَحِمَ. Perkataan رحم dalam bahasa Arab bermaksud merahmati. Perkataan رحم juga digunakan secara meluas dalam bahasa Melayu. Kebanyakan lafaz yang selalu digunakan adalah seperti يَرْحَمْكُمُ الله ,  رَحِمَكُمُ الله , فِي رَحْمَةِ الله . Kesemua lafaz tersebut memberi makna yang sama. Perkataan rahmat dalam bahasa Melayu juga adalah daripada kalimah رحم . 

Berbalik kepada cerita apakah perbezaan lafaz الرحمن dan الرحيم ialah pada sighah (صيغة) atau wazan (وزن) yang digunakan. Dalam bahasa Arab, terdapat pelbagai sighah untuk menerangkan sesuatu kalimah berdasarkan makna yang digunakan dalam ayat. Pada lafaz الرحمن wazan yang digunakan adalah فَعْلاَن dan pada lafaz الرحيم wazan yang digunakan adalah ٌفَعِيْل . Penggunaan wazan yang berbeza inilah yang menyebabkan perbuatan Allah berbeza pada dua nama tersebut. Persamaan wazan ini dari sudut ilmu bahasa Arab, kedua-duanya merujuk kepada صيغ مبالغة yang bererti sifat Allah yang bermakna Maha. Maha bererti sifat yang melampau. Contoh pada perkataan biasa, kalau seseorang itu sentiasa melampau berjaya dalam hidupnya, dia dipanggil Fauzan yang bererti sangat-sangat berjaya. Berbeza dengan kata nama Faiz yang merujuk orang yang berjaya. 

Walaupun perbuatan Allah yang sama iaitu merahmati, tetapi penggunaan sighah mubalaghah yang berbeza, boleh memberi makna yang berbeza. Itulah yang terjadi kepada lafaz Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang bermaksud Maha Pemurah dan Maha Penyayang(Pengasih). Apabila digunakan dengan sighah فعلان, ia meliputi rahmat Allah kepada sekalian makhluq yang ada di bumi, tetapi apabila menggunakan sighah فعيل, ia telah menukar rahmat Allah kepada Ar-Rahim yang hanya diberi kepada hamba yang Allah kasihi. Tetapi, masih lagi merujuk kepada perbuatan Allah yang Maha pada kedua-dua nama tersebut. Dalam surah Ar-Rahman, Allah memperlihatkan betapa luasnya rahmat Allah kepada manusia sejagat tak kira muslim atau kafir supaya tidak mendustakan dengan nikmat yang diberikan. Tetapi alam rahim ibu memperlihatkan kekuasaan Allah bagaimana Allah memelihara kita di dalam perut ibu kita selama 9 bulan sehingga kita dilahirkan merujuk kepada Maha pengasihnya Allah kepada kita.

Kesimpulan yang dapat dibuat, ketika kita membaca بسم الله الرحمن الرحيم, cubalah merasai dan menghayati akan Maha pemurahNya Allah sekalipun kita tidak beriman dengannya, dan lihatlah betapa Maha pengasihNya kepada kita yang menjadi hamba yang soleh kepadanya. Allah sentiasa bersifat baligh (sehabis maksimum) dalam menyalurkan sifat-sifatNya kepada hamba-hambaNya, walaupun kita masih kufur dengan nikmatnya.

Seharusnya, mengenal bahasa Arab mendekatkan diri kita kepada pencipta kita Allah SWT, dan ini terbukti kalau kita faham penggunaan wazan yang berbeza pada kalimah فعل yang sama boleh membezakan makna kalimah tersebut walaupun untuk maksud dan tujuan yang sama.

Segala yang baik itu dari Allah, dan yang kurang baik itu daripada saya sendiri.

والله أعلم بالصواب

5 comments:

  1. Lafaz basmalah pada setiap surah kecuali surah at Taubah.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kupasan ... boleh teruskan ayat2 seterusnya dlm surah al fatihah.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih kupasan ... boleh teruskan ayat2 seterusnya dlm surah al fatihah.

    ReplyDelete