Monday, 6 March 2017

لفظ لا إله إلا الله

Kenapa guna huruf nafi لا pada lafaz لا إله إلا الله


Ketika mengungkapkan lafaz لا إله إلا الله yang merupakan kalimah tauhid, pernahkah terfikir kenapa digunakan penafian "Bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah". Kenapa tidak digunakan الله إله واحد. Ini kerana uslub (gaya bahasa) penafian itu lebih kuat dalam bahasa Arab berbanding uslub إثبات. Dalam lafaz tersebut, permulaan kata nafi لا yang bererti tiada itu merujuk alam ini bermula dengan tiada, dan yang ada hanyalah Allah. Allah ingin menafikan kepada hambanya, bahawa tiada wujudnya tuhan lain selain daripada Allah SWT. Sedangkan Allah boleh menyatakan Aku Tuhan Kamu Yang Esa. Tetapi sebaliknya, dimulakan dengan kata nafi لا terlebih dahulu kemudian didatangkan أداة الاستثناء iaitu إلا bermaksud kecuali. Biasanya kata nafi yang tidak diakhiri dengan إلا seperti dalam jumlah menunjukkan penafian itu sifatnya kekal. 

لا يأکل محمد  = Muhammad tidak makan

Dalam jumlah tersebut, perbuatan makan itu dinafikan dengan kata nafi لا , tetapi tiada pengunaan أداة الاستثناء selepas محمد. Bermakna Muhammad tidak makan buat masa sekarang. 

Penggunaan أداة الاستثناء bersama huruf nafi sebenarnya menguatkan lagi makna lafaz tersebut. Dalam lafaz لا إله إلا الله, perkataan yang ingin ditekankan pada lafaz tersebut ialah perkataan إله (Tuhan). Kemudian diletakkan huruf Nafi لا dan disempurnkan maknanya dengan -kecuali Allah - إلا الله.

Di sini, kita dapat buat kesimpulan bahawa kata nafi yang digunakan bersama أداة الاستثناء adalah bertujuan menguatkan kata nama selepas  أداة الاستثناء. Dan lafaz tersebut menambah keyakinan bahawa Tiada Tuhan kepada Adanya Tuhan iaitu Allah. Sebab itulah digunakan kata nafi pada إله.

Kita boleh tengok contoh lain dalam Firman Allah SWT:

((وما محمد إلا رسول ........)) Surah Ali Imran: 144 

Ertinya: " Dan bukanlah Muhammad itu  kecuali Rasulullah."

Kata nama yang ingin dikuatkan di sini adalah lafaz رسول الله. Nabi Muhammad SAW itu tidak lain tidak bukan hanyalah utusan Allah SWT. Ayat tersebut juga menggunakan kata nafi sebelum kata nama محمد iaitu ما , kemudian diakhiri dengan إلا رسول الله . 


Kita boleh menggunakan uslub tersebut dalam komunikasi harian ketika ingin menguatkan sesuatu makna pada perkatan yang dilafazkan mulailah dengan kata nafi لا @ما  dan إلا, in shaa Allah, lafaz kita bisa menarik pehatian pendengar.



Selamat Beramal
هيا بالعربية

Tuesday, 28 February 2017

Apa ada pada kalimah لا

ِApa ada pada kalimah لا

La (لا) dalam bahasa Arab bermaksud tidak. Dalam bahasa Arab, terdapat 2 jenis لا, iaitu لا النافية dan  لا الناهية. Banyak beza pada 2 jenis لا tersebut walaupun menggunakan lafaz yang sama. Jenis لا النافية bermaksud tidak, manakala لا الناهية bermaksud jangan.

Kali ini, kita akan bercerita mengenai penggunaan لا dalam konteks kehidupan kita seharian. Kebanyakan ibubapa sekarang lebih suka menggunakan perkataan NO, berbanding لا ketika melarang anak berbuat sesuatu. Namun, apakah beza antara ungkapan لا dan NO. Sebenarnya, banyak perbezaan keduanya dari segi aspek nilai. Tahukah anda ketika kita menggunakan perkataan لا, kalimah tersebut mempunyai nilai dalam bahasa Arab. Apakah nilai tersebut? Jawapannya adalah anak-anak kecil sudah dididik untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang menyalahi agama Islam. Bagaimana caranya? Sebagai contoh, ketika kita melarang anak kita bermain sesuatu, dan kita mengungkapkan لا kepada mereka, sebenarnya kita sedang mendidik anak-anak kita supaya menjauhi perbuatan tersebut. Lama-kelamaan, mereka terdidik untuk tidak melakukan perkara yang dilarang oleh agama Islam, kerana banyak ayat larangan dalam Al-Quran menggunakan kalimah لا, menunjukkan perbuatan itu dilarang oleh agama. Secara automatik, ketika mereka membaca ayat-ayat al-Quran yang berbentuk  لا الناهية, mereka mengetahui perbuatan tersebut adalah haram di sisi Allah. Kalimah لا bukan sahaja berdiri sebagai satu kalimah, tetapi ia membawa hukum bersamanya. Dalam ayat-ayat larangan dalam al-Quran, perbuatan yang didahului dengan لا الناهية itu hukumnya haram. Ia bukan sekadar bersifat tegahan, tetapi membawa hukum bersamanya. Sebagai contoh firman Allah Taala:

(( لا تقربوا الزنا ))

Bermakna hukum menghampiri zina itu adalah satu dosa, maka ketika diungkapkan " Jangan menghampiri zina", maka mana-mana perbuatan yang hampir kepada zina itu adalah haram. Itulah nilai yang ada pada kalimah لا, tetapi tidak terdapat pada NO, yang hanya bersifat menidakkan atau menafikan sesuatu perbuatan.

Oleh itu, sebagai ibubapa seharusnya kita menggantikan perkataan NO yang selalu kita gunakan ketika menegah anak melakukan sesuatu dengan kalimah لا sebagai kata larangan dalam kehidupan seharian. Dalam sudut psikologi juga, kita tidak digalakkan untuk menggunakan perkataan NO yang boleh membantutkan perkembangan positif anak-anak kita kerana NO lebih membawa maksud negatif. Berbeza pula dengan penggunaan لا kerana kita menggunakan lafaz al-Quran ketika berbicara dengan anak-anak kita. Inilah yang dikatakan mendidik anak-anak kita dengan pemahaman al-Quran sejak dari kecil lagi dengan lafaz yang diambil dari al-Quran. Al-Quran itu bukan setakat dibaca dan dihafaz tetapi perlu diamalkan mesej-mesej yang terkandung di dalamnya untuk dijadikan panduan hidup di dunia. Dan amalan mudah untuk menanam anak-anak cintakan al-Quran adalah dengan mengamalkan komunikasi al-Quran bersama anak-anak. Dan penggunaan kalimah لا , adalah salah satu contoh penggunaan komunikasi al-Quran dengan niat untuk mendidik mereka menjadi generasi Rabbani. In shaa Allah, di lain masa, saya akan menghuraikan pula makna لا النافية yang bermaksud tidak.


#NOW, EVERYONE CAN SPEAK ARABIC
#PLEASE DO NOT SHY TO USE لا

هيا بالعربية☺

Monday, 27 February 2017

اسم المعرفة واسم النكرة

Apa itu ism makrifah (اسم المعرفة) dan ism nakirah (اسم النكرة)?

Dalam bahasa Arab, terdapat 2 jenis ism iaitu makrifah dan nakirah. Apa yang dimaksudkan dengan ism makrifah? Makrifah adalah kalimah bahasa Arab yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu, iaitu pengetahuan, ilmu makrifah ialah ilmu pengetahuan. Manakala Nakirah adalah lawan ism Makrifah iaitu kata nama yang tidak tahu. Apa yang tahu dan tidak tahu pada nama?! Contoh kalimah ism yang ada  ال adalah ism makrifah, manakala ism yang tiada ال dipanggil ism nakirah. Jadi, ال dalam bahasa Arab memainkan peranan yang penting dalam menentukan sesuatu kata nama dalam bahasa Arab.

Sebagai contoh,ُالبيت (rumah) adalah ism makrifah, dan jika ditiadakan ال , ism tadi telah bertukar kepada ism nakirah, iaitu ٌبَيْت. Perbezaan dari tanda bacaan ialah ism makrifah tidak dibaca dengan tanwin (  ٌ )ٍ(  ٍ ) (  ً ), manakala ism nakirah dibaca dengan tanwin.

Dari segi makna pula, البيت dan بيت adalah berbeza. البيت telah bertukar menjadi kata nama khas, dan بيت adalah kata nama umum. Keistimewaan bahasa Arab semakin terserlah kerana penggunaan ال boleh memberi makna yang berbeza kepada sesuatu kalimah (perkataan). Dalam mengenalpasti sesuatu kata nama itu makrifah atau nakirah, apakah tujuan penggunaan ism makrifah dan nakirah. Selalunya, banyak nama yang kita gunakan untuk merujuk kepada nama-nama tertentu sahaja, dan ada nama yang kita gunakan untuk penggunaan umum. 

Selain penggunaan ال untuk membezakan ism itu makrifah dan nakirah, terdapat pelbagai cara lain untuk menjadikan ism itu makrifah. Antara cara lain ialah dengan menambah beberapa kalimah di depan atau di belakang kata nama tersebut. Seperti dengan menambah kata ganti nama di hujung kalimah ism seperti بيتي (rumah saya), atau kata nama sandaran seperti بيت المقدس (Baitul Maqdis)

Kita juga boleh menerangkan makna ism nakirah dengan meletakkan اسم الإشارة (kata nama isyarat)  seperti هذا بيت (rumah ini) atau اسم الموصول (kata nama hubung) seperti بيت الذي (rumah yang.....).

Kesinambungan dari contoh ism makrifah dan nakirah, saya ingin mengambil contoh dalam ayat al-Quran di dalam surah al-Fatihah pada 2 ayat yang terakhir iaitu ayat keenam dan ketujuh.

((اهدنا الصراط المستقيم)).

((صراط  الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين)).


Kalimah الصراط adalah ism makrifah, tetapi pada ayat seterusnya صراط adalah ism nakirah. Tetapi kenapa digunakan ism makrifah dan ism nakirah pada kalimah yang sama (صراط).

Jawapannya adalah pada ayat yang keenam, supaya kita ditunjuk oleh Allah kepada satu jalan sahaja iaitu jalan yang lurus. Manakala ayat yang ketujuh penggunaan   الذين sebagai اسم الموصول untuk menerangkan ism nakirah (kata nama umum) kepada makna yang lebih spesifik iaitu di antara banyak-banyak jalan, jalan yang mana satu.... iaitu jalan yang Engkau beri nikmat ke atas mereka yang terdahulu, dan bukan jalan yang Engkau murkai ke atas mereka dan bukan jalan mereka yang sesat.

Contoh lain dalam ayat al-Quran ialah pada ayat:

فإن مع العسر يسرا. إن مع العسر يسرا (سورة الإنشراح :5-6)

Di sini, kita dapat lihat pada kalimah العسر, Allah menggunakan ism makrifah, berbanding pada kalimah يسرا , Allah menggunakan ism nakirah. Apa perbezaan pada kesusahan (العسر ) yg menjadi ism makrifah,dan apa yang ada pada kesenangan (يسرا) yang menjadi ism nakirah. Di sini, Allah ingin menunjukkan selepas adanya kesusahan yang ditentukan (spesifik), akan bersama-samanya kesenangan yang tidak terkira (tidak spesifik). Kemudian, ayat yang sama diulang sebanyak 2 kali, menyatakan khabar ini benar, iaitu sesungguhnya bersama kesusahan, ada kesenangan.


هيا بالعربية

Friday, 24 February 2017

Keagungan Basmalah

Keagungan Basmalah

Lafaz بسم الله الرحمن الرحيم adalah permulaan ayat bagi setiap surah yang ada dalam al-Quran kecuali surah at-Taubah. Sebelum memulakan sesuatu pekerjaan, kita juga digalakkan untuk membaca basmalah. Namun, sedarkah kita lafaz akhir pada lafaz basmalah iaitu Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang merupakan Asmaul Husna bagi Allah mempunyai makna yang berbeza. Untuk memberi kesan yang lebih pada setiap pekerjaan kita yang dimulai dengan lafaz tersebut, elok kita menghayati apakah perbezaan pada kedua-dua nama Allah tersebut dari segi ilmu bahasa Arab.

Lafaz الرحمن dan الرحيم adalah berasal daripada kalimah فعل yang sama iaitu رَحِمَ. Perkataan رحم dalam bahasa Arab bermaksud merahmati. Perkataan رحم juga digunakan secara meluas dalam bahasa Melayu. Kebanyakan lafaz yang selalu digunakan adalah seperti يَرْحَمْكُمُ الله ,  رَحِمَكُمُ الله , فِي رَحْمَةِ الله . Kesemua lafaz tersebut memberi makna yang sama. Perkataan rahmat dalam bahasa Melayu juga adalah daripada kalimah رحم . 

Berbalik kepada cerita apakah perbezaan lafaz الرحمن dan الرحيم ialah pada sighah (صيغة) atau wazan (وزن) yang digunakan. Dalam bahasa Arab, terdapat pelbagai sighah untuk menerangkan sesuatu kalimah berdasarkan makna yang digunakan dalam ayat. Pada lafaz الرحمن wazan yang digunakan adalah فَعْلاَن dan pada lafaz الرحيم wazan yang digunakan adalah ٌفَعِيْل . Penggunaan wazan yang berbeza inilah yang menyebabkan perbuatan Allah berbeza pada dua nama tersebut. Persamaan wazan ini dari sudut ilmu bahasa Arab, kedua-duanya merujuk kepada صيغ مبالغة yang bererti sifat Allah yang bermakna Maha. Maha bererti sifat yang melampau. Contoh pada perkataan biasa, kalau seseorang itu sentiasa melampau berjaya dalam hidupnya, dia dipanggil Fauzan yang bererti sangat-sangat berjaya. Berbeza dengan kata nama Faiz yang merujuk orang yang berjaya. 

Walaupun perbuatan Allah yang sama iaitu merahmati, tetapi penggunaan sighah mubalaghah yang berbeza, boleh memberi makna yang berbeza. Itulah yang terjadi kepada lafaz Ar-Rahman dan Ar-Rahim yang bermaksud Maha Pemurah dan Maha Penyayang(Pengasih). Apabila digunakan dengan sighah فعلان, ia meliputi rahmat Allah kepada sekalian makhluq yang ada di bumi, tetapi apabila menggunakan sighah فعيل, ia telah menukar rahmat Allah kepada Ar-Rahim yang hanya diberi kepada hamba yang Allah kasihi. Tetapi, masih lagi merujuk kepada perbuatan Allah yang Maha pada kedua-dua nama tersebut. Dalam surah Ar-Rahman, Allah memperlihatkan betapa luasnya rahmat Allah kepada manusia sejagat tak kira muslim atau kafir supaya tidak mendustakan dengan nikmat yang diberikan. Tetapi alam rahim ibu memperlihatkan kekuasaan Allah bagaimana Allah memelihara kita di dalam perut ibu kita selama 9 bulan sehingga kita dilahirkan merujuk kepada Maha pengasihnya Allah kepada kita.

Kesimpulan yang dapat dibuat, ketika kita membaca بسم الله الرحمن الرحيم, cubalah merasai dan menghayati akan Maha pemurahNya Allah sekalipun kita tidak beriman dengannya, dan lihatlah betapa Maha pengasihNya kepada kita yang menjadi hamba yang soleh kepadanya. Allah sentiasa bersifat baligh (sehabis maksimum) dalam menyalurkan sifat-sifatNya kepada hamba-hambaNya, walaupun kita masih kufur dengan nikmatnya.

Seharusnya, mengenal bahasa Arab mendekatkan diri kita kepada pencipta kita Allah SWT, dan ini terbukti kalau kita faham penggunaan wazan yang berbeza pada kalimah فعل yang sama boleh membezakan makna kalimah tersebut walaupun untuk maksud dan tujuan yang sama.

Segala yang baik itu dari Allah, dan yang kurang baik itu daripada saya sendiri.

والله أعلم بالصواب